CINTA BAU PERTAMA

Biasa orang akan membicarakan tentang cinta pandang pertama, tetapi aku ingin bercerita tentang cinta bau pertama.

Aku masih ingat ketika kali pertama aku menciumnya, aku masih lagi berusia 14 tahun. Keharumannya memang membuatkan aku jatuh cinta . Kini walaupun aku telah melupakan keharumannya, aku masih ingat lagi pada waktu ianya berlaku. Waktu itu aku sedang berbaris untuk masuk ke bilik lukisan di belakang kantin Sekolah Menengah Anderson, Ipoh. Pada mulanya aku tidak perasankan kewujudannya di situ. Lantaran bosan menunggu, aku mula memerhatikannya. Setelah mendekatinya, aku mula membelainya tanpa pedulikan keadaan di sekelilingku. Ia benar-benar membuatkan aku jatuh cinta bau pertama.

Benar..aku terpikat dengan keindahannya, ianya putih bersih dan masih suci. Terus sahaja aku menciumnya sambil membelainya lagi. Keharumannya mula menguasai rongga hidungku. Memaksa aku meneruskan ciuman tersebut. Namun ianya cuma sementara sahaja. Bilik lukisan dibuka dan semua rakan-rakan memasukinya dan meninggalkan aku sendirian. Terpaksalah dengan berat hati aku meninggalkannya. Di bilik lukisan, aku masih tidak dapat melupakan keharumannya yang buat aku jatuh cinta.

Itulah kali pertama dan terakhir aku berpeluang menciumnya. Aku tidak lagi memiliki peluang yang sama sesudah itu. Bahkan sehingga ke hari ini, aku tidak mengetahui nama sebenarnya. Bau yang harum yang ada padanya telah lama aku lupakan. Jika aku berpeluang bertemu lagi dengannya, pasti aku tidak mengenalinya lagi tetapi aku pasti ianya akan membuatkan cinta aku kembali terpaut.

Yang pasti, ianya bukan manusia tapi sepohon pokok yang rendah tetapi rendang memiliki bunga putih yang seakan bunga mawar. Aku pernah melihatnya lagi, tetapi masih belum dapat aku kenali dan dekati. Juga belum dapat aku ciumi keharumannya. Tetapi aku yakin  satu hari nanti, keharumannya dan keindahan bunganya yang berwarna putih akan menghiasi laman rumah aku jua akhirnya. InsyaAllah

Itulah cinta pandang pertama aku..oh silap… Cinta Bau Pertama.

Share

Selamat Ulang Tahun

Semalam, genap 8 tahun aku dan isteri aku di ijabkabulkan sebagai suami isteri. Dengan 2 orang putera, hubungan aku dan isteri aku semakin bertambah bagus dan baik. Selamat Ulang Tahun aku ucapkan kepada isteri aku atas perkahwinan ini.

Tidak dinafikan, rumahtangga yang aku bina bersama dengan isteri aku pernah di landa ketegangan , masalah, ribut badai dan dugaan. Tapi kami masih boleh bertahan sehingga ke hari ini. Aku sentiasa berfikiran positif, mengamalkan doa setiap hari agar jodoh aku bersama isteri berpanjang sehingga akhir hayat kami. Aku percaya pada prinsip perkahwinan yang jujur dan setia.  Telah aku tanam kepercayaan ini jauh di sudut hatiku. Ribut taufan, dugaan serta masalah yang timbul sebenarnya telah mendewasakan kami dan menambah pengalaman dalam menjaga keharmonian rumahtangga.

Aku setia kepada isteri aku. Aku tak berminat untuk jadi suami yang curang. Sebab aku perlu kekal setia demi mengejar syurga impianku. Ramai orang termasuklah isteri aku yang suka-suka hati aje menganggap aku pernah ada hubungan dengan perempuan lain. Mana pernah aku ada fair dengan perempuan lain. Tapi aku mengakulah kesalahan aku, sampai menimbulkan suasana salah faham itu. Kalau seseorang itu tak berada di tempat yang boleh menimbulkan syak wasangka..sure takde punya cerita CSI di ASTRO. Allah lebih Maha Mengetahui siapa aku yang sebenarnya. Tak perlulah ada orang lain yang perlu hadir untuk menafsir siapa aku yang sebenarnya. Kelak nanti bila tiba masanya nanti, Allah akan tunjukkan akan kebenaran tersebut. Jika korang tak percaya, cubalah buat post montem atau siasat aku ala-ala CSI, sure korang tak jumpa bukti yang boleh mengaitkan aku dengan faktor kecurangan dalam rumahtangga yang aku bina

Demi cinta aku kepada mereka dan juga isteri aku. Kesetiaan akan terus menjadi tunjang dalam kehidupan aku dan itu adalah beza aku dengan lelaki lain yang bergelar suami. Selepas segala ribut badai yang melanda berlalu………… Kini mentari muncul lagi. Bahagia kembali. InsyaAllah…Allah akan mengekalkan keharmonian dan kesetiaan di dalam alam rumahtangga aku. Selamat Ulang Tahun.

Share

CINTA SEJATI

Dahulu di Kufah, terdapat seorang pemuda tampan, dia kuat beribadah dan sangat rajin. Suatu saat dia singgah berkunjung ke kampung dari Bani An- Nakha’. Dia melihat seorang gadis cantik di situ sehingga jatuh cinta.

Dan ternyata, si gadis cantik ini pun begitu juga padanya. Kerana sudah jatuh cinta, akhirnya pemuda itu mengutus seseorang melamarnya dari ayahnya. Tetapi si ayah menolak lamaran itu kerana puterinya akan dijodohkan dengan sepupunya.

Namun, cinta kedua mereka tidak dapat dipadam bahkan semakin berkobar. Si gadis akhirnya mengirim pesan melalui seseorang untuk si pemuda, bunyinya, “Aku telah tahu betapa besar cintamu kepadaku, dan betapa besar pula aku diuji dengan kamu. Bila kamu setuju, aku akan mengunjungimu atau aku akan mempermudah jalan bagimu untuk datang menemuiku di rumahku.”

Dijawab oleh pemuda tadi melalui orang suruhannya, “ Aku tidak setuju dengan dua alternatif itu, sesungguhnya aku merasa takut bila berbuat maksiat pada Rabbku akan azab yang akan menimpaku pada hari yang besar.” (Yunus:15)

Aku takut pada api yang tidak pernah mengecil nyalanya dan tidak pernah padam kobarannya.

Ketika disampaikan pesan tadi kepada si gadis, dia berkata, “Rupanya dia masih takut kepada Allah? Demi Allah, tiada seorang pun yang lebih berhak untuk bertakwa kepada Allah dari orang lain. Semua hamba sama-sama berhak untuk itu.”

Kemudian dia meninggalkan urusan dunia dan menyingkirkan perbuatan-perbuatan buruknya serta mulai beribadah mendekatkan diri kepada Allah. Akan tetapi, dia masih menyimpan perasaan cinta dan rindu kepada si pemuda.

Tubuhnya mulai kurus menahan rindunya, sampai akhirnya dia meninggal dunia kerananya. Dan pemuda itu seringkali berziarah ke kuburnya. Dia menangis dan mendoakannya. Suatu waktu dia tertidur di atas kuburannya. Dia bermimpi bertemu dengan kekasihnya dengan penampilan yang sangat baik. Dalam mimpi dia sempat bertanya, “ Bagaimana keadaanmu? Dan apa yang kau dapat setelah meninggal?”

Gadis itu menjawab, “ Sebaik-baik cinta wahai orang yang bertanya, adalah cintamu. Sebuah cinta yang dapat mengiring menuju kebaikan.”

Pemuda itu bertanya, “ Jika demikian, ke manakah kau menuju?” Dia menjawab, “ Aku sekarang menuju pada kenikmatan dan kehidupan yang tak berakhir. Di Syurga kekekalan yang dapat kumiliki dan tidak akan pernah rosak.”

Pemuda itu berkata, “ Aku harap kau selalu ingat padaku di sana, sebab aku di sini juga tidak melupakanmu.” Dia menjawab, “ Demi Allah, aku juga tidak melupakanmu. Dan aku meminta kepada Tuhanku dan Tuhanmu (Allah SWT) agar kita nanti dapat dikumpulkan. Maka, bantulah aku dalam hal ini dengan kesungguhanmu dalam ibadah.”

Pemuda bertanya, “ Bila aku dapat melihatmu?” Jawab si gadis: “Tidak lama lagi kau akan datang melihatku.” Tujuh hari setelah mimpi itu berlaku, si pemuda dipanggil oleh Allah menuju kehadratNya, meninggal dunia.

Share