Riadah Bukit Broga

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

 

 

 

 

 

Sudah lama sebenarnya aku kepingin untuk mendaki Bukit Broga yang ketinggiannya cuma 400 meter. Sempena cuti panjang yang diberikan oleh kilang tempat aku berkerja, mulanya aku bercadang mendaki bersendiri (atau dengan Ali Ridha) namun setelah bertanya kepada rakan sekerja, ada Dept yang melakukan rombongan untuk mendaki Bukit Broga ini.

Janji pukul 4 pagi bertolak, disebabkan salah komunikasi dan lambat bangun tidur. Rombongan hanya bertolak pukul 5 pagi dan tiba di kawasan kebun kelapa sawit yang biasa dijadikan tempat parking kereta sekitar 6:30 pagi. Untuk pengetahuan korang, 2 bas digunakan untuk membawa satu Dept seramai lebih 80 orang pekerja yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan negara. Cadangan untuk melihat matahari terbit mungkin sedikit lewat untuk kami semua

Aku akan ceritakan sedikit pengalaman dan tip setelah berjaya menjadi pendaki yang berjaya sampai di Puncak Bukit Broga.

Realitinya terdapat 3 puncak bukit (tidak termasuk Puncak Broga) yang perlu dilalui dan ditakluki sebelum tiba di Puncak Broga.

 

 

Puncak Pertama (maaf tiada gambar diambil sebab terlupa punya pasal)

Permulaan ialah di tempat letak kereta, pendakian yang pada mula tidak begitu mencabar dengan dakian sekitar 20 darjah bertukar menjadi mencabar iaitu pendakian sekitar 50darjah. Laluan dan denai pendakian sememangnya disediakan namun masih menyulitkan lebih-lebih lagi buat mereka yang tiada hati untuk menjadi seorang pendaki.

Laluan menjadi semakin mencabar bila tiba di satu jurang yang terdapat dua lorong pendakian untuk dipilih. Saranan aku untuk korang, ikut lorong sebelah kanan yang tidak begitu curam tetapi agak jauh jaraknya.
Laluan sebelah kiri lebih curam dan sempit tetapi ada disediakan tali untuk memudahkan pendakian.

Pendakian untuk ke puncak pertama ini adalah pendakian yang melibatkan jarak yang paling jauh berbanding pendakian ke puncak yang seterusnya.

Sampai di Puncak pertama, masih terdapat banyak pokok besar di sekeliling dan tempat untuk berehat yang kelihatan tidak begitu menarik untuk disinggahi.

 

Puncak Kedua

Cabaran yang sebenarnya bermula di sini. Sebaik sahaja meninggalkan Puncak Pertama, korang akan menuruni laluan bukit sebelum kembali dalam posisi pendakian. Kecuraman pendakian pada pendapat aku ialah sekitar 60 darjah.  Jarak pendakian sebenarnya tidak jauh tetapi sangat mencabar kerana kecuramannya. Tiada lagi pokok-pokok kecil yang boleh dijadikan tempat berpaut, yang ada cuma lalang-lalang yang tidak mungkin dapat membantu.

Di tengah pendakian. korang boleh berehat sebentar di satu kawasan landai yang tidak begitu luas. Ada beberapa batu besar yang terbonggol untuk korang santai-santai yang melihat rakan-rakan lain yang masih mendaki.

 

 

 

Setelah melepaskan lelah seketika, korang perlu menyambung pendakian ke Puncak Kedua yang sememangnya indah dan jauh lebih luas untuk melepaskan penat lelah. Pendakiannya memang mencabar dan curam. Pun begitu, ada tali disediakan untuk membantu pendakian. Oleh kerana kecuramannya, aku sarankan korang tidak memandang ke bawah untuk mengelakkan rasa gayat.

Sampai di Puncak Kedua memang puas rasanya, sudah ada ramai pendaki yang tiba dan bersantai-santai di sini.

 

 

 

 

 

Puncak Ketiga

Jarak antara Puncak Ketiga dengan Puncak Kedua tidak begitu jauh dan pendakian tidaklah begitu mencabar. Namun ramai yang tidak berkeupayaan lagi untuk melangkah lebih jauh jadi lebih ramai yang memilih untuk lepak di Puncak Kedua sahaja.

Pemandangan sekeliling semasa perjalanan lebih dipenuhi dengan pokok lalang dan juga pokok senduduk. Aku turut terpandang anak pokok rambutan hidup berhampiran denai laluan. Jika dibiarkan hidup, InsyaAllah para pendaki bakal menikmati buah rambutan dari Bukit Broga secara percuma.

 

 

 

 

 

 

Puncak Broga

Hanya aku dan rakan seperjuangan (pernah berkerja satu dept sebelum dept kami ditutup) meneruskan perjalanan hingga ke puncak. Ini bermaksud, cuma 2 orang pendaki sampai di puncak dalam ramai pekerja yang turut serta ( 2 buah bas).
Samaada rakan-rakan lain sudah pancit tenaga ataupun mereka sememangnya tiada infomation tentang Puncak Broga.

Untuk sampai di puncak, perlu melalui laluan sempit antara dua buah batu yang besar, ada tali disediakan untuk memudahkan pendakian

Sampai di Puncak, sudah ada beberapa group yang sampai lebih awal, juga ada beberapa group anak muda yang menuruni puncak. Masing-masing sibuk bergambar dan melepaskan lelah. Ada yang menjamu selera dengan roti dan tuna dalam tin. Bahkan ada yang menghisap shisha.

Pemandangan sekeliling tidaklah begitu gah berbanding puncak-puncak yang lain, tetapi kepuasan sememangnya terasa setelah berjaya sampai di puncak. Di Puncak Broga, terdapat banyak pokok paku pakis dan pokok renek seakan lengkuas hutan. Terdapat juga pokok-pokok besar yang lain yang sudah dipahat dahannya dengan nama pendaki.

Untuk pengetahuan korang, jika diteruskan perjalanan ke denai berikutnya. Ianya akan membawa korang ke Gunung Tok Wan. Jaraknya sekitar 3.7 kilometer dan kira-kira 3 jam perjalanan.

InsyaAllah di lain masa aku akan meneruskan perjalanan ke Gunung Tok Wan yang ketinggiannya sekitar 675meter.

 

 

 

Matahari Terbit

Jika korang ingin melihat matahari terbit, saranan aku kawasan terbaik adalah di Puncak Kedua. Ianya tidak dilindungi oleh pokok besar. Di puncak ketiga juga pula akan dihalang oleh Puncak Broga.

View matahari terbenam aku tidak sure. Rasanya mana-mana puncak akan beri pandangan yang menarik.

 

 

 

 

Perjalanan Turun

Menuruni bukit atau dari kawasan yang tinggi sebenarnya lebih cepat namun lebih sukar jika kita tidak mempunyai imbangan yang baik. Kena sentiasa berhati-hati dan belajar cara yang betul untuk menuruni bukit.

Pengunaan kasut yang sesuai boleh menpercepatkan langkah korang semasa menuruni bukit yang curam. Kawasan Bukit Broga tidak ada penjaga atau petugas, jika berlaku kecederaan pasti sukar untuk mencari pihak penyelamat.

 

Saranan Dan Persediaan

1) Bukit Broga sememangnya sesuai untuk melakukan aktiviti riadah tetapi pada pendapat aku, ianya kurang sesuai untuk mereka yang tiada hati untuk mendaki dan ianya tidak sesuai untuk mereka yang mudah letih dan lemah semangat. Aku sarankan juga agar korang elakkan membawa kanak-kanak kecil yang masih belum mampu berdikari kerana pendakian perlu dilakukan dengan penuh perhatian dan cermat serta hati-hati.

2) Pakaian

- T-shirt sudah memadai untuk pakaian. Tidak perlu berlengan panjang (melainkan untuk menutup aurat) atau memakai baju sejuk, kerana mendaki bukit akan membuatkan korang berpeluh dengan banyak.

- Digalakkan memakai seluar yang selesa untuk pendakian. Aku selesa memakai Track-Suit. Rakan aku sesuai memakai jeans 3/4 suku. 

Ramai yang tidak mengalakkan memakai jeans untuk mendaki tetapi berdasarkan pengalaman aku semasa mendaki Gunung Nuang semasa muda-muda dulu, Jeans masih sesuai digunakan untuk program mendaki gunung asalkan korang memilih jeans yang kainnya lembut dan punyai bukaan yang luas serta tidak terlalu ketat. Bahkan korang boleh memakai seluar jenis Khakis.

- Kasut

Lebih sesuai jika korang gunakan kasut yang khusus untuk aktiviti pendakian. Tidak digalakkan menggunakan kasut sukan yang digunakan untuk joging. Kasut yang sesuai mestilah mempunyai daya cengkaman dan tapak yang baik.

Lebih baik korang gunakan kasut jenis safety boot ataupun kasut tukang kebun berbanding menggunakan sandal biasa yang tiada tapak yang mencengkam.

Aku sempat perhatikan beberapa pendaki yang mengalami kesukaran kerana menggunakan sandal atau selipar semasa mendaki. Bahkan aku juga sempat perhatian ada beberapa tapak kasut yang tertanggal. Ini semua berpunca kerana mendaki dengan kasut yang tidak sesuai.

- Makanan/ Minuman

Bawa sedikit makanan untuk menjana kembali tenaga yang hilang. Roti berintikan tuna dalam tin mungkin sesuai. Tidak perlu membawa terlalu banyak makanan. Minuman memadai sekadar membawa air mineral 1.5 liter. Jangan lupa untuk membawa plastik lebih, setiap sisa makanan dan bekas makanan perlu dibawa turun kembali. Kita perlu pastikan Bukit Broga berada dalam keadaan bersih.

- Lampu Suluh

Bagi mereka yang ingin mendaki pada waktu subuh digalakkan membawa lampu suluh. Lebih elok jika lampu suluh itu boleh diletakkan di kepala. Smartphone yang dilengkapi dengan aplikasi lampu suluh juga boleh digunakan.

- Kamera

Bukit Broga adalah antara kawasan indah untuk sesi fotogafi.  Sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan kamera DSLR baru seperti blogger Akubiomed. Kamera biasa atau smartphone juga boleh digunakan. Aku sendiri menggunakan Samsung Galaxy Ace dengan 3 aplikasi kamera yang berbeza.

 

Bukit Broga sememangnya salah satu tempat riadah yang baik untuk mereka yang sukakan cabaran, sukakan permandangan indah dan suka pada dunia fotogafi.  Jarak perjalanan dari tempat letak kereta ke Puncak Bukit Broga sejauh 1.7 kilometer dalam posisi mendaki. Saranan aku, jangan memandang rendah akan ketinggiannya kerana tidak ramai yang berjaya sampai di Puncak Broga yang cuma ketinggian 400 meter. Lain kali, sesiapa yang teringin untuk mendaki Bukit Broga seterusnya ke Gunung Tok Wan, bolehlah ajak aku sekali untuk join.

 

 

 

Post Popularity 7.78%  
Popularity Breakdown
Views 0.03%  
Comments 15.52%  

Comments

Riadah Bukit Broga — 9 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge