Kesudahan Dia Tetap Dia

Ini adalah sambungan kepada dua entri yang sebelum ini. Bahagian pertama dan bahagian kedua. Aku cuba tamatkan sambungan rangkaian entri supaya semua orang nampak kesudahannya. Jadi tidaklah nampak seolah-olah aku ini tersepit. Disebabkan ada happy ending, diharapkan ada manafaat untuk para pembaca. InsyaAllah.

Dia bertukar ke sekolah yang baru (sekolah yang ke-4). Hari pertama, dia kembali jadi budak tak dengar cakap. Macam biasa, ibunya akan menelefon atau ditelefon dengan gurunya. Guru di sekolah di sini lebih bagus layanannya berbanding layanan guru-guru di 3 buah sekolah sebelum ini. Ada seorang guru yang dipertanggungjawabkan menjaga hal pelajar tahun satu, namanya Cikgu Farah. Terima kasih kepada Cikgu Farah dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 2.

Maka, bila perangai dia pada hari pertama diketahui. Aku membelasahnya di dalam kereta. Juga aku buang kesemua game kesukaannya di komputer. Memang dia rasa sedih tapi dia tahu akan kesalahannya membawa akibat untuknya. Isteri aku juga cuba menggunakan cara pujuk dan rajuk. Dia bertambah sedih dan meraung apabila mendengar ayat berikut.

Kalau nakal-nakal nanti, nanti ayah dan ibu mati. nak tak?

Sebenarnya aku menahan diri untuk memukulnya, tetapi kemarahan yang tidak mampu lagi dikawal oleh semua sudut di dalam diri aku menyebabkan aku bertindak sedemikian. Lepas pukul dan delete game, aku kembali kepadanya memeluk dan kembali bercakap perkataan- perkataan yang baik dan elok.

Keesokannya, aku berkerja pagi. Sekitar pukul 11 pagi aku pergi solat Dhuha, solat Hajat dan solat Istikarah memohon petunjuk kepada Tuhan Yang Satu. Ini adalah cadangan bernas satu sudut dalam diri aku yang berkeras melarang aku memukul dia kembali. Hanya petunjuk Allah sahaja yang aku rasakan pendapat yang terbaik sebelum aku mendengar pendapat orang lain. Sememangnya aku arang meminta pendapat orang lain. Pantang untuk aku.

Jadi penghujung waktu berkerja, aku dapat tahu dia merasakan ditinggalkan van sekolah. Lalu dia mencuba pulang ke rumah dengan berjalan kaki tetapi sesat di belakang sekolah. Dia sampai ke jalan sibuk yang penuh dengan lori hantu. Mujurlah ada insan yang baik hati melihatnya dan menghantarnya kembali ke sekolah. Agak aneh, pihak taska tidak menghubungi aku dan isteri (mereka kata ada hubungi, tetapi tak ada pun miss call atau message yang aku dapat). Tapi aku bersyukur sebab dia selamat dan sihat sejahtera.

Bila aku pulang ke rumah, aku terus memeluknya. Dia pun sudah serik melakukan perkara sedemikian. Inilah petunjuk Allah yang aku dapat. Mulai daripada saat itu, aku tidak pernah lagi memukulnya, sekadar memarahinya dengan nada merajuk. Itu pun dah buat dia rasa susah hati dan sakit hati.

Dia tetap dia bersama adiknya

Ladfe Ali Ridha bersama Ladfe Farris

Sesi perjumpaan dengan pakar psikologi juga sudah tamat. Doktor pakar memberikan jawapan yang sememangnya aku tahu. DIA BUKANNYA HYPERAKTIF . Kelakuannya sama sahaja seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Jadi anggapan guru-guru sebelum ini sememangnya salah. Aku lebih memahami dia.

Dia mendengar kata di rumah. Dia akan meminta izin kepada aku dan isteri atas apa jua urusan yang hendak dilakukan termasuklah ingin buang air besar, minum air. Semuanya meminta izin.Apabila kami memanggilnya, dia akan segera datang kepada kami dengan kadar yang segera. Juga melakukan perkerjaan yang dipinta,cepat sahaja dilakukan.  Satu lagi, aku biasa membawa dia pergi ke surau atau solat jumaat. Dia akan duduk memdiamkan dirinya sewaktu aku sedang mendengar khutbah ataupun solat. Dia mengawal dirinya tanpa berkata-kata walaupun sekitarnya ada kanak-kanak lain yang bermain dan orang tua yang sibuk berbual walaupun khatib memberi khutbah. Jika ada ‘tempat berkecuali’ untuk berdiam diri, perlukah kita masih mahu menganggapnya hyperaktif?

Tetapi pakar psikologi membuat keputusan juga dia ada masalah kurang daya tumpuan yang masih memerlukan bimbingan daripada pakar. Maksudnya, dia tidak mampu memberi lebih tumpuan berbanding rakan sebayanya. Jika rakannya mampu memberi tumpuan sekitar seminit, dia mungkin cuma setengah minit. Boleh rujuk di sini untuk keterangan lanjut pasal Attention-deficit hyperactivity disorder (ADHD). Dia pula dirujuk sebagai ADD (tanpa perkataan hyperaktif).

Sebenarnya, dia sudah mula kurang dengan perangainya itu. Jika dulu, barang-barang sekolahnya selalu hilang kini tiada lagi pensil atau pembaris dan pemadam yang hilang. Aku sudah mula merasa akan ke’slow’an sikap buruknya itu.  Syukur pada Allah.

Di sini antara kaedah yang aku dan isteri guna. Semoga ianya bermanafaat :

  • Jangan sesekali berkata buruk kepadanya. Walaupun dia berkeadaan sebegitu, aku tak pernah sekalipun memanggilnya degil atau bodoh. Ayat kebiasaan aku ialah : Dah tak dengar cakap ayah dah ye…?
  • Peluk dan cium dia memang aku dan isteri lakukan setiap hari. Juga tak lupa memintanya melakukan perkara yang sama setiap hari. Impak sentuhan sebenarnya sangat besar. Dia berasa lebih lega dan merasa diri masih disayangi walaupun teruk kena marah atau kena pukul sebelum ini. Kami  sudah melakukannya sejak dia masih kecil lagi.
  • Dia lebih mendengar kata bila kami gunakan kaedah lemah lembut. Jika ditengking dan dimarah, dia akan terus ‘hang’ dan semua perkara yang dilakukan menjadi lembap mendadak.
  • Berdoalah kepada Allah agar dibantu dipermudahkan urusan ini. Inilah yang aku sering lakukan selepas solat wajib.  Juga solat hajat dan solat istikarah.
  • Tip daripada saudara Norazizul Abdul Rahim. Thank bro

masa lepas solat,  panggil anak  duduk atas riba anda,  baca surah alam nasrah dan tiup kat atas kepaao nya..tanpa dia sedari, sekali baca sekali tiup sampai habis nafas ( ingat atas ubun-ubun @ kepala budak tu) amalkan bacaan ini setiap hari..insya Allah akan ada perubahannya..khasiatnya..hati anak kan jadi lemah lembut dengan org tua x kira sapa, mendengar kata dan sebagai nya..insya Allah..kita berusaha dan berdoa..yg lain kita bertawakal kepadaNya.

Aku biasa guna kaedah ini, tetapi biasanya aku akan suruh dia duduk di riba kemudian aku berzikir dan baca doa bersama-samanya. Dia tidak menolak dan sentiasa berasa selesa dengan perbuatan aku. Juga tidak lupa, selepas aku solat dia akan mencium pipi aku.

  • Biasa juga aku bercakap di tepi telinganya sewaktu dia sedang tidur agar mendengar kata dan menjaga akhlaknya.
  • Pemakanannya juga perlu dijaga. Kami sudah mula mnegurangkan coklat dan makanan ringan seperti snek kerana ia membantu dalam menambah keaktifannya.
  • Aku percaya dan yakin, dia mampu mengawal situasi dirinya. Tak kiralah esok atau lusa, aku tetap percaya dia mampu berubah menuju ke tahap yang jauh lebih baik.
  • Aku bersyukur kepada Allah, walaupun dia dianggap dengan situasi yang teruk dan buruk oleh pihak lain. Aku dan isteri tidak mengalaminya, dia baik-baik sahaja dengan kami. Dia tidak merenggek-renggek dan meraung jika tidak dapat barang yang dia inginkan di Hypermarket. Dia tidak kisah jika aku menolak keinginannya untuk makan KFC kerana aku lebih suka makan MacD.
  • Sentiasa berfikiran positif. Kurangkan merungut dengan suratan takdir.
  • Memberi peluang untuknya melakukan perkara yang dia sukai pada waktu-waktu tertentu.
  • Ataupun ikut sahaja tazkirah Cik Nurul Nadia Safian. Ya,  memang buat aku terharu sangat-sangat dengan tazkirahnya itu. Mengalir juga air mata aku membacanya. Thank a lot ya, cik Nadia. Allah sahaja yang akan membalasnya. InsyaAllah.

Aku menerima keadaan dirinya. Dia adalah anugerah untuk aku dan isteri. Kesudahannya dia tetap dia di mata kami. Kekurangannya bukanlah selama-lamanya. Dia tetap dia yang aku sayangi. Semua manusia ada kelebihan dan kekurangan. Satu hari nanti, dia akan datang bawa sinar yang bagus untuk aku dan isteri. Kerana aku percaya pada janji Allah. Dan aku percaya kepada diri sendiri, juga percaya kepada dia. InsyaAllah

Share

Dia Tetap Dia Yang Aku Sayangi

Ini adalah sambungan entri sebelum ini. Tentang anak sulung aku Ladfe Ali Ridha. Dia sudah masuk ke tahun satu. Zaman persekolah bukanlah sesuatu yang menarik untuknya. Sebolehnya dia tidak mahu pergi ke sekolah. Seperti mana dia masih di peringkat pembelajaran, begitulah juga untuk aku dan isteri aku.

Dia Tetap Dia Yang Aku Sayangi

Dia Tetap Dia Yang Aku Sayangi

Hari pertama dan kedua persekolahan di Sek. Kebangsaan Puchong Utama 1, aku dan isteri menemaninya. Kami melihatnya setiap masa di kelas. Nampak seperti budak skema dan anak orang-orang baik. Aku dan isteri percaya padanya, yang dia mampu menguruskan dirinya di sekolah.Maka pada hari ketiga, aku masih menemaninya sebentar sahaja. Kemudian aku pulang ke rumah. Baru sahaja aku meletak motosikal di parking, aku mendapat panggilan telefon daripada isteri aku. Dia menyuruh aku segera kembali ke sekolah. Dia mengamuk dan membuat perangai.

Sebaik sahaja aku sampai ke sekolah, aku terus mencarinya. Benar , dia sedang melakukan aksi. Tetapi sebaik sahaja melihat kelibat aku, dia terus menjadi slow. Takut kena marah. Aku dipanggil oleh penyelia petang dan juga pengetua sekolah. Mereka menganggap dia ada masalah mental. Hati siapa yang tidak sakit, bila seseorang yang membesar depan mata kita dituduh sebagai cacat mental oleh orang yang baru mengenalinya sekitar 3 hari. Isteri aku memang rasa marah dan sakit hati kerana kenyataan tersebut.

Yang aku tidak lupa apabila diberitahu oleh gurunya, dia menerabur barang-barang di dalam beg tangan gurunya dan memijak-mijak beg tangan tersebut. Lagi dilarang, lagi dibuat. Seolah-olah dunia persekolahan ini merupakan hanya taman permainan baginya. Guru tidak dapat mengawal situasi, akan menangislah mereka. Nak dimarah, takut pelajar lain terkesan dengan kemarahan tersebut. Jadi, dia akan dibawa keluar oleh guru-guru lain (terutama guru displin) agar tidak mengganggu pembelajaran pelajar yang lain. Ketika diberitahu akan situasi sebegini semacam tidak percaya, dia yang baik-baik sahaja di rumah. Mendengar cakap dan menjaga tingkah laku, berubah dengan drastik sekali ketika ditinggalkan bersendirian di sekolah. Guru besar memberi tempoh masa 2 minggu untuk melihat perubahan dia. Pihak sekolah lebih suka dia tidak disekolahkan, dan membiarkan dia tinggal di rumah sahaja. Di samping itu, terdapat cadangan lain, iaitu mencadangkan dia diletakkan di sekolah pemulihan khas. Aku memilih untuk meletakkannya di sekolah pemulihan khas.

Guru kaunseling dan guru kelas menyifatkan dia sebagai berstatuskan OKU. Juga berstatuskan Hyperaktif. Bayangkanlah, waktu sesi persekolahan petang, semua pelajar dan guru-guru mengenalinya. Di perhimpunan, dia akan berada di sebelah guru. Dia tidak dibenarkan berada di kumpulan rakan-rakannya yang lain. Namun telah aku perhatikan, pelajar tahun satu yang lain kelihatan sama sahaja aktifnya. tak nampak perbezaan yang ketara antara anak aku dengan anak orang lain. Jadi adakah kerana perangai selama 3 hari yang agak aktif, dia sudah dicap sebagai OKU.

Dia tidak lama bersekolah di situ. Pada masa yang sama aku juga sudah memproses kemasukannya ke Sekolah Pemulihan Khas. Agak sukar juga langkah-langkah yang perlu dikuti bagi memastikan dia berjaya memasuki sekolah pemulihan khas. Terpaksa buat banyak appoinment dengan doktor pakar (masih lagi dalam rawatan sewaktu entri ini ditulis). Dan isteri aku selamat melahirkan anak kedua kami di Putrajaya. Bermakna dia sudah menjadi abang lah. Dia kemudiannya berpindah sekolah di kampung untuk mengikut isteri aku berpantang di kampung.

Di kampung, pada mulanya dia ditempatkan (atas permintaan) berhampiran dengan rumah mertua aku. Cuma tahan sehari sahaja. Guru di sana tidak sanggup mendidik dia apabila aku katakan kepada mereka, yang dia hyperaktif. Ada seorang guru lelaki yang agak berusia, dengan tiada rasa hormatnya menyarankan dia tidak dipersekolahkan. Aku memang rasa sangat angin mendengarnya. Seorang guru yang senior berfikiran negatif kepada seorang murid yang baru dikenalinya tidak sampai satu jam. Sungguh memalukan seorang guru berfikiran negatif sebegitu.

Keesokannya, aku tidak lagi menghantarnya ke sekolah tersebut. Aku bergegas pulang ke rumah untuk meminta surat pertukaran sekolah untuk dia.(sebelum ini, aku menggunakan status menumpang sekolah, tetapi istilah tumpang sekolah sudah tidak wujud lagi). Setelah membuat permohonan di Pejabat Pendidikan Daerah Sungai Besar. Aku berjaya menempatkan dia di Sek. Kebangsaan Seri Makmur, Sungai Besar. Masih gagal untuk aku menempatkan dia di sekolah pemulihan khas kerana surat doktor yang diberikan tidak laku.

Guru di sekolah ini melayan dia dengan agak baik. Tetapi sekali lagi situasi yang sama berlaku. Dia tidak mampu dikawal oleh kebanyakan guru-guru di situ. Aku sekali lagi dipanggil oleh penyelia petang. Ini adalah kali ketiga dari 3 sekolah yang berbeza. Saranan untuk menempatkan dia di sekolah pemulihan dicadangkan sekali lagi. Dan sekali lagi aku terpaksa memberitahu kepada pihak sekolah, permohonan masih lagi diproses.

Dia tidak lama bersekolah di situ. Sekitar seminggu sahaja. Isteri aku juga pada masa yang sama sudah bosan tinggal berpantang di kampung kerana faktor cuaca yang panas. Kemudian aku terpaksa mengangkut isteri aku, dia dan adiknya pulang ke rumah di Puchong. Aku kemudiannya membiarkan dia idak bersekolah sehingga tamat tempoh tarikh yang diminta semasa pertukaran sekolah di kampung sebelum ini.

Aku kemudiannya pergi ke Pejabat Pendidikan Sri Petaling 3 untuk mendaftarkan kembali dia bersekolah di Puchong 1 tetapi memandangkan Sek Kebangsaan Puchong Utama 1 telah penuh, dia diletakkan di Sek. Kebangsaan Puchong Utama 2. Dan timbul masalah lagi kronik di sini.

Disebabkan aku telah banyak bersabar, jadi perkara sabar itu sudah sebati dengan aku. Tetapi ada masanya, aku akan membelasah juga dia. Tapi sampai bila aku kena belasah dia sampai dia boleh faham. Aku tak mahu keadaan sebegini berterusan. Aku tidak mahu dia membesar dalam keadaan takut kepada aku dan isteri. Aku mahu dia membesar secara normal dan teratur. Tetapi penuh dengan displin dan bertanggungjawab.

Kadang-kala aku rasa letih dengan dia. Tetapi jiwa aku memaksa aku bersabar dan terus bersabar. Dunia aku yang satu lagi juga meminta aku terus bersabar. Semua orang di sekeliling juga meminta aku bersabar. Cik Nurul Nadia Safian juga suruh aku bersabar dan senyum. Maka aku bersabarlah. Sebab aku jumpa satu batas kuasa yang besar dengan bersabar. Tak percaya boleh rujuk kepada ayat Al-Quran dan Hadis berikut :

Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk – Al-Baqarah:45

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung. – Ali Imran:200

Berikut adalah hadis:

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang mukmin) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya.” Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim (7425).

Aku sebenarnya mampu mengawal situasi dan kesabaran aku. Kerana jika aku tidak menyokongnya, apalah gunanya aku menjadi seorang ayah. Dia perlukan sokongan aku dan isteri. Tanpa sokongan aku dan isteri, pasti dia akan tersesat ke arah yang tidak mampu diubah lagi. Sebab aku percaya dia masih boleh dibentuk lagi. Tak peduli kata orang terhadap  dirinya. Dia tahu dia adalah anak aku. Dia tetap dia yang aku sayangi. Selama-lamanya. Dia aku lebih kenali berbanding orang lain di luar sana. Aku pecaya pada dia.

Entri ini akan disambung pada penamatnya. Benarkah dia seorang yang hyperaktif? Cara apakah yang aku praktikkan sehingga dia semakin boleh dikawal. Setiap sesuatu dugaan itu ada indahnya.InsyaAllah. Bersambung.

Share

Dia Tetap Dia

Dia merupakan cucu pertama ibu bapa ku. Jadi bila mengalami keracunan makanan waktu dia masih bayi lagi, ibu aku terus menawarkan diri untuk menjaganya. Aku dan isteri terpaksa membuat keputusan yang sukar pada waktu itu. Setahun lebih juga ibu bapa aku menjaga dia. Memang ditatang bagai minyak yang penuh. Aku dan isteri hanya menjenguk dia sebulan sekali disebabkan perbezaan jadual kerja.

Dia tetap Dia | Ladfe | Ali Ridha | 3 tahun |

Dia tetap Dia | Ladfe | Ali Ridha | 3 tahun |

Namun, disebabkan rindu kepadanya.Korang layanlah lagu ni..sebab lagu ini yang mengingatkan aku kepadanya (juga satu lagu kumpulan Slam berjudul Lela)

Aku dan isteri berpakat untuk menjaganya kembali selepas kami berpindah ke rumah sendiri. Waktu kami mengambilnya kembali, dia masih belum berani berjalan. Tetapi atas dorongan dan pujukan serta gurauan, dia berjaya melangkah dengan berjaya dan berani. Aku dan isteri terlalu gembira. Pada mulanya, isteri aku menjadi surirumah tangan sepenuh masa. Disebabkan faktor ekonomi yang semakin mencengkam, isteri aku kembali berkerja selepas setahun melepak di rumah.

Kami menghantar dia ke rumah abang kandung isteri aku untuk dijaga sementara aku dan isteri berkerja. Tetapi berlaku sedikit kecuaian, dia digigit oleh puluhan ekor semut api di kedua belah kakinya yang masih meninggalkan kesan sehingga sekarang. Isteri aku terus berhenti menghantar dia ke rumah kakak iparnya, lalu menghantar dia ke taska. Ketakutan mula menguasai pada dirinya, dia cukup takut bila dihantar ke taska. Menangis dan meraung hampir seminggu setiap kali dihantar ke taska. Akhirnya, dia mula memahami situasi dan keadaan yang memerlukan dia perlu berada di taska.

Dia tetap Dia | Ladfe | Ali Ridha | 4 tahun |

Dia tetap Dia | Ladfe | Ali Ridha | 4 tahun |

Selain daripada semut api, dia tidak takut dengan binatang lain. Pernah dengan selambanya, dia mengusap seekor bapak kuda sambil semua orang berasa cuak melihatnya. Juga tidak takut untuk memegang ikan haruan sebesar lengan di kala pergi ke pasar tani bersama aku dan isteri. Orang lelaki dewasa pun tidak berani memegang haruan tersebut. Bahkan jika dia terjumpa cicak, akan digentelnya cicak itu lalu menjadikannya sebagai makanan ikan peliharaan.

Dia masih belum pandai bercakap pada usianya 4 tahun lebih. Masih pelat yang teruk. Aku dan isteri kadang kala itdak memahaminya, namun berjaya juga mengetahui apabila mendengar dia mengulang-ulang ayat yang sama. Aku masih ingat lagi, dia lebih biasa memanggil gelaran ‘ayah’ terlebih dahulu dan aku terpaksa mengajarnya menyebut ‘ibu’ setiap malam sewaktu menemani dia tidur. Akhirnya dia berjaya juga menyebut ‘ibu’.

Sewaktu masuk ke tadika ketika umur 6 tahun, dia mula belajar mengeja dan menulis. Kami kagum dengan guru-guru tadika tempat dia belajar. Bayangkan dia langsung tidak mengetahui huruf dan nombor sewaktu bersama aku dan isteri, tetapi dia berjaya mempelajarinya setiap huruf di tadika. Agak aneh, ilmu apakah yang guru-guru tadika pelajari. Walaupun dia agak lambat mengejar prestasi rakan-rakan lain, dan hanya menduduki kedudukan yang agak teruk dalam peperiksaan. Aku dan isteri sangat bersyukur kepada Allah, kerana dia berjaya mengharungi dunia tadika dan persekolahan.

Dia tetap Dia | Ladfe | Ali Ridha | 4 tahun |

Dia tetap Dia | Ladfe | Ali Ridha | 4 tahun |

Dia tak punya ramai kawan dan teman. Bahkan tidak semua nama rakan-rakannya diingatinya. Saudara maranya juga tidak mahu berkawan dengannya. Dia masih anak tunggal aku dan isteri ketika itu. Walaupun kelihatan disisihkan oleh rakan-rakan lain, dia masih gembira. Mampu tersenyum dan ketawa. Tambahan pula dia masih ada ayah dan ibunya. Barangkali itulah yang paling penting dalam hidupnya. Ayah dan ibu iaitu aku dan isteri.

Aku cukup sayang padanya walaupun ada kalanya aku melampau dalam mendidiknya, tetapi walaupun teruk dimarah ataupun dipukul dia masih lagi mampu tersenyum selepas itu. Pernah aku membelasahnya disebabkan satu kesalahan sehingga tangan aku turut sakit. Dia tidur malam dalam kesakitan, lalu aku datang kembali kepadanya membelek setiap inci tubuh badannya dan mengusapnya kembali. Aku menangis sambil menyayangi dan menciumnya. Benar, dia takut kepada aku dan isteri. Baginya kami adalah segala-galanya buatnya. Dia tidak mahu berpisah walaupun ada masanya memang terang terangan dia melakukan kesalahan. Aku akan menangis selepas aku berada dalam keadaan cool dan kembali memujuknya.

Tapi aku bangga dengan dia. Pada usia 4 tahun, dia sudah berhenti memakai pampers. Kemudian berhenti mengisap susu dalam botol. Juga pandai basuh berak sendiri. Ada masanya dia melangkaui kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Ada kalanya, dia sememangnya ketinggalan berbanding rakan-rakan sebayanya.

Ketika ini, dia sudah berusia 7 tahun dan bersekolah di darjah satu. Lebih banyak dugaan dan cabaran untuk aku dan isteri dalam membesarkannya. Namun aku menyambung entri ini di lain masa. Setiap hari merupakan proses pembelajaran untuk dia. Tetapi pada masa yang sama adalah masa pembelajaran untuk aku dan isteri. Kami belajar bersama-sama mengharungi dunia yang semakin sempit dan tua ini. Aku tidak ego. Isteri aku juga tidak ego. Kami sama-sama bersyukur dengan kehadirannya menyerikan lagi arus kehidupan kami suami isteri.

Dia yang aku maksudkan adalah anak sulung aku, Ladfe Ali Ridha bin Ladfe Amir. Dia tetap dia. Dia tetap dia di mata aku dan isteri aku. Walaupun banyak anggapan buruk tentangnya, dia tetap dia.

bersambung dan disambung lagi

Share