AKU KESAKITAN TANPA IDEA

Saat ini aku memang tak ada idea untuk menulis. Asalnya memang banyak idea dalam kepala otak aku ini. Namun disebabkan mood aku yang merudum tiba-tiba, idea yang ada terus ditahan daripada memasuki kepala otak aku ini. Aku dilanda kesakitan sebenarnya. Kesakitan secara fizikal dan mental. Kesakitan ini pun begitu sepatutnya bukanlah halangan untuk aku.

Tiada idea tidak patut dijadikan alasan untuk orang seperti aku. Tapi betullah mood aku dalam keadaan yang agak tidak memuaskan. Melihat wajah manis isteri aku belum cukup untuk meredakan keadaan. Juga ‘bantuan’ daripada anak sulung dan juga baby tidak banyak mengubah keadaan. Jadi ini adalah kesakitan secara mental.

Lalu aku melihat profil pendorong aku. Sudah lama aku tak melihatnya di Facebook. Dia sudah dilanda kesibukan yang amat sangat barangkali. Tak mungkin dia menghilangkan diri begitu sahaja. Dan jujurnya, aku memang rindukan dia. Jadi aku mencuci mata melihat gambarnya dan dengan tidak malunya aku klik ‘suka’. Wajahnya memanglah menjadi sumber kekuatan aku untuk senyum kembali. Aneh, kami hanya kenal mengenali dalam keadaan singgah sebentar sahaja. Tetapi, Allah menjadikan hubungan yang singkat ini sebagai satu cerita yang pasti menjadi ingatan untuk aku dan juga dirinya.

Makanya, lagu KASIH KU PINJAM WAJAH MU memang sesuai untuknya ketika ini. Eh! Jangan fikir aku jatuh cinta padanya pulanya pula. Dia seseorang yang berlainan dalam hidup aku tetapi agak penting. Istimewa tetapi tiada istilah jatuh cinta kepadanya.

Waktu begini, memang daya pertahanan aku fizikal dan mental sudah mula menjunam. Entah kenapa muka aku dilanda masalah kulit yang sangat ketara. Menyebabkan muka aku macam dilanda parut panau. Ianya gatal dan ada keluar lelehan air putih. Keadaan ini merimaskan aku dan menjadikan muka aku kelihatan hodoh. Bahkan aku diserang oleh kegatalan pada kedua-dua belah mata aku.Ini sebenarnya adalah kesakitan fizikal.

Tetapi aku sedar semua ini adalah ujian daripada Allah. Kesakitan dan dugaan sebegini sebenarnya amatlah ringan jika dibandingkan penyakit kulit yang dialami oleh Nabi Ayub as. Kita tidak boleh bayangkan betapa sabarnya Nabi Ayub as menerima ujian Allah sebegini rupa. Nabi Ayub as masih lagi tersenyum dan bersabar. Dan apabila Allah menyembuhkan penyakit kulit Nabi Ayub as, kulitnya bertambah cantik berbanding sebelum ditimpa kesakitan itu.

Namun dugaan dan cabaran Nabi Muhammad saw lebih berat daripada Nabi Ayub as walaupun Nabi kesayangan kita tidaklah ditimpa kesakitan seperti Nabi Ayub as. Rasullulah saw diduga dan disakiti oleh masyarakat sekeliling termasuklah datang dari sanak saudara baginda.

Aku kena bersabar serta ridha atas semua kejadian. Bahkan aku sepatutnya bersyukur kerana aku ditimpa kesakitan seperti ini. Allah sudah pasti mengampunkan dosa-dosa aku. Syukur Alhamdullilah. InsyaAllah. Aku takkan menyerah kalah dalam keadaan ini. Lagu ini sesuai untuk sapa-sapa yang tak ingin mengalah.

Nah, dalam keadaan aku kesakitan mental dan fizikal, akhirnya aku berjaya juga melakarkan satu entri untuk blog ini. Itulah hikmah yang tersembunyi di sebalik kejadian. Moga kesakitan ini akan hadir bersama sinar keindahan juga akhirnya. Dan mendorong aku untuk terus bersabar di atas dugaan-Nya.

Share